Come With Hope, Back With Success."

Monday, March 28, 2011

KPS: Def. Operasi


Salam untuk semua calon-calon PMR dan SPM.
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan pula tentang KPS yang berikutnya iaitu kemahiran mendefinisi secara operasi.

Mendefinisi secara operasi ialah proses memberi definisi tentang sesuatu konsep dengan menyatakan perkara yang boleh dilakukan dan diperhatikan.

Ia membolehkan pembezaan di antara contoh dan bukan contoh bagi konsep yang dihuraikan.

Kepentingan kemahiran ini ialah:
1-Menghurai konsep dalam bentuk yang boleh dikendalikan
2-Pemerhatian dan pengukuran boleh dilakukan bagi pembolehubah
3-Membezakan di antara contoh dan bukan contoh sesuatu konsep

Kaji dua kenyataan di bawah:
1-Cerek elektirik ialah sebuah alat elektrik
2-Cerek elektrik ialah alat untuk mendidihkan air

Apakah perbezaan antara kedua kenyataan di atas. Huraian 1 adalah bersifat konsep manakala huraian 2 merujuk kepada fungsi alat yang boleh diperhatikan. Kesimpulanya kenyataan 1 adalah definisi konseptual manakala kenyataan 2 adalah definisi secara operasi.

Contoh 1
Berikut adalah dua kenyataan mengenai asid
A-Asid ialah bahan yang mengandungi hidrogen
B-Asid adalah bahan yang menukarkan kertas litmus biru kepada merah.

Apakah perbezaan kenyataan di atas?
Tentukan yang mana satu definisi secara operasi?

Jawapan:
Kenyataan B-Asid menukarkan kertas litmus boleh dilakukan dan diperhatikan manakala kenyataan A tidak boleh diperhatikan.
Kenyataan B ialah definisi secara operasi.

Selamat belajar dan jumpa lagi.
Cikgu Nordin