Come With Hope, Back With Success."

Monday, September 17, 2012

Bila tiba masa itu..

Salam pertemuan untuk semua...
Tidak lama lagi Peperiksaan PT3 akan tiba. Calon-calon sedang sibuk mentelaah pelajaran di saat-saat akhir... dengan harapan, usaha berkenaan dapat membantu mereka menghadapi peperiksaan yang bakal tiba. Syabas untuk anda...

Kejayaan itu memang manis. Semua orang inginkan kejayaan.. tetapi tidak ramai yang sanggup berusaha gigih untuk mencapainya. Ramai yang tewas di pertengahan jalan.


Jika persediaan cukup tentu tidak sabar menanti saat ini.
 

Saat bahagia yang bukan semua orang mampu merasainya. 
Adakah anda tergolong ke dalam kumpulan ini? 
Sudah semestinya..
Saat pahit manis zaman persekolahan jangan dipersiakan.

Penyudah yang tidak diingini
Ramai yang tidak pernah mengalaminya
Ada yang tidak tahu bahawa situasi ini memang ada
Inginkah anda tergolong dalam kumpulan ini?... 
Tentunya tidak


Peperiksaan bukan sekadar melihat pencapaian lulus gagal
Bukan sekadar jumlah A yang berjaya anda perolehi..
Juga bukan pujian yang diharapkan

Kejayaan adalah usaha anda mendidik diri...
Mendidik untuk menghargai ilmu pengetahun itu sendiri.

Apa yang cikgu ingin nyatakan di sini. Anda masih ada masa untuk sedar...masih ada masa untuk berubah... masih ada masa untuk melakar kejayaan di dalam hidup anda... kerana MASA ITU masih belum tiba. Ingat dan berubah sebelum terlambat.

Selamat menduduki peperiksaan
Semoga anda semua berjaya.
Cikgu Nordin

Friday, August 17, 2012

Exam VS Raya

Salam untuk semua. Tidak lama lagi umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidilfitri. Suasana kini semakin meriah. Sekolah pula akan bercuti dalam masa lebih kurang seminggu. Balik kampung, jalan-jalan dan menziarah, jumpa kawan-kawan, kuih raya, berpakaian cantik, duit raya dan banyak lagi yang akan menanti anda pada hari raya nanti.

Di kesempatan ini, Cikgu ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pelawat blog celiksains yang beragama Islam. Maaf dipohon jika ada penulisan cikgu yang mengguris hati anda. Sesungguhnya sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari kesalahan dan kesilapan.



Bagi calon-calon peperiksaan suka cikgu mengingatkan bahawa anda mempunyai tanggungjawab yang besar selepas hari raya nanti. Adakah persediaan anda sudah sampai ke tahap yang cukup baik sebelum menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan?

Ingatlah:

Hari raya datang dan pergi setiap tahun 
tetapi peperiksaan hanya datang sekali

Fikir dan renungkanlah. Gunakan kebijaksanaan anda untuk membahagi masa dan menilai yang manakah paling perlu diutamakan. Moga-moga anda tidak lalai dan mendapat manfaat. Orang yang berfikir dengan baik tentunya akan beruntung.

Jumpa lagi. 
Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin
Cikgu Nordin

Thursday, August 16, 2012

Bersedialah...

Salam pertemuan. Apa khabar semua? Dikesempatan ini, cikgu ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pelawat-pelawat blog Celiksains yang beragama Islam. Semoga anda semua sentiasa di dalam rahmat-Nya.Semoga anda semua dapat menjalani ibadah puasa dengan jayanya
.
Sekarang mungkin ada diantara calon-calon peperiksaan sedang berkira-kira tentang hasil yang akan diperolehi dari peperiksaan utama yang semakin hampir. Adakah membuahkan hasil atau tidak segala usaha yang dilakukan selama ini. Ada juga yang tidak yakin dengan diri sendiri hinggakan semangat mereka semakin menurun.


Kejayaan dan kegagalan kerap diperhitungkan. Bagi cikgu pula, jika anda telah membuat persedian yang TERBAIK kenapa anda perlu bimbang dan takut. Persediaan TERBAIK perlu disertakan dengan keyakinan tinggi dan tawakkal kepadanya
.

Terlalu banyak berfikir tentang kegagalan juga boleh mengurangkan motivasi diri anda. Jika anda mengalami perasan sebegini...bimbang, takut, risau, anda perlu dapatkan nasihat daripada ibubapa atau kaunselor anda. Perkara ini perlu dilakukan bagi membuang halangan-halangan yang boleh mengganggu tumpuan anda.

 

Cikgu berpendapat adalah lebih matang jika anda mempersoalkan tentang persediaan anda daripada memikirkan tentang kegagalan dan paling bahaya jika dibuai dengan angan-angan kejayaan. Bersedialah selengkapnya sebelum ke dewan peperiksaan. Jadikan keputusan percubaan anda sebagai sandaran dan penilaian untuk anda memperbaiki diri. Bertindaklah sebelum terlambat. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Gunakan masa bulan puasa ini untuk mentelaah dan mengulangkaji dengan sebaik mungkin. Satu kajian yang dilakukan oleh Pakar Perubatan Amerika Syarikat telah membuktikan puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian perbandingan ke atas sekumpulan orang yang kerap berpuasa dan tidak berpuasa menunjukkan mereka yang berpuasa memperolehi skor markah lebih tinggi. Jangan anda persiakan peluang di bulan yang mulia ini. Mulakan langkah anda segera.
Cikgu Nordin

Sunday, July 29, 2012

Kasih Ibu



Kasih ibu sepanjang hayat.... sesuatu yang tentunya pernah didengar tetapi jarang dihayati. Kita diasuh dan dididik sedari kecil hingga sekarang. 
Jasa ibu memang tidak boleh ditukar ganti.



 

 Bukan sahaja manusia, haiwan pun sayangkan anaknya.



 Doa ibu sangat berkat dan makbul.

 Sedarlah semua.....
Sayangilah ibu anda...sayangilah ibu anda..

 Kasih ibu sampai ke mati

Jika ibu anda masih ada di dunia ini....balaslah jasa-jasanya walaupun ia tidak minta. Berbaktilah kepadanya selagi diberi peluang. 

Sekurang-kurangnya anda tunjukkan kejayaan anda dalam hidup. 
Agar dia merasakan pengorbananya selama ini tidak pernah sia-sia.

Thursday, June 14, 2012

Tinggal Separuh..

Salam pertemuan untuk semua pengunjung setia blog SkorA. Abang One berharap anda semua berada di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Bagaimana dengan cuti penggal anda? Sekarang sekolah sudah mula dibuka. Sebelum anda mula dengan pengalaman baru.. anda kena ambil sedikit masa untuk melakukan sedikit analisa tentang pencapaian anda pada semester yang lepas.

Adakah semua yang anda lakukan pada semester lepas telah melepasi target? Adakah anda sangat berpuas hati dengan pencapaian anda? Mungkin juga anda tidak berpuas hati? Hanya diri anda sendiri yang mampu menjawab setakat mana tahap pencapaian anda. 

Ada juga di antara calon-calon PT3 dan SPM yang sedikit pun tidak mengambil kisah tentang hal ini. Bagi mereka apa yang telah dan akan berlaku sama sahaja. Mereka tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap mereka samada rakan, guru, ibubapa dan masyarakat sekeliling.

Anda patut tahu bahawa pengalaman anda di sekolah ini adalah satu proses. Proses yang sangat sistemetik, mencabar dan mempunyai kemanisan kejayaan yang tersembunyi. Anda kena cari kemanisan kejayaan tersebut.

Abang One andaikan semester pertama adalah separuh masa pertama bagi satu perlawanan bola sepak dan semester kedua adalah perlawanan bagi separuh masa yang kedua. Dunia anda adalah seperti satu perlawanan bola sepak yang telahpun melepasi separuh masa pertama.

Adakah anda sudah mengatasi pihak lawan pada separuh masa pertama atau anda ketinggalan? Jika anda rasakan anda telah ketinggalan, anda perlu mengambil langkah yang lebih berkesan dan proaktif dalam separuh masa kedua ini. Apakah langkah berkenaan?

Anda perlu memilih langkah yang sesuai dengan nasihat orang yang lebih tua daripada anda samada ibubapa, guru, kaunselor, abang atau kakak. Apa yang paling penting, anda akan mengatasi pihak lawan pada separuh masa kedua dan berjaya memenangi perlawanan tersebut. 

Siapa musuh anda? Musuh anda yang sebenarnya ialah diri anda sendiri... diri anda yang tidak mahu berjaya dan tidak mahu mengecap kemanisan kejayaan. Kemanisan yang bukan semua orang dapat merasakannya.


Perlu juga diketahui bahawa anda belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Anda masih mempunyai separuh lagi masa pertandingan... Perlawanan masih belum tamat. Pemenangnya masih belum diketahui. Anda memang boleh menang dan berjaya jika anda mengetahui siapakah anda... tahu kekuatan dan kelemahan anda. Jangan segan dan takut untuk membaiki sebarang kelemahan.

Cikgu sangat berharap pembaca semua faham apa yang abang cuba sampaikan. Buatlah perubahan sebelum semboyan penamat ditiupkan. Abang tetap yakin anda semua boleh mengecap kejayaan cemerlang dengan syarat pertama anda mahukan kejayaan berkenaan. Semuanya menjadi tidak berguna jika anda tidak mahu untuk berubah dan berjaya.

Sekian dulu untuk kali ini.. Selamat belajar
Cikgu Nordin

Wednesday, May 23, 2012

Kesungguhan..

Salam pertemuan. Siapakah anda? mungkin soalan sebegini jarang sekali ditanyakan kepada anda. 

Seorang pegawai polis tentunya akan menjalankan tugasnya dengan penuh disiplin dan amanah. Seorang doktor perubatan pula akan bertugas di hospital disertai kepakaran yang ada padanya. Seorang guru pula tidak jemu-jemu mendidik anak bangsa dengan satu tujuan untuk melihat anak muridnya menempa kejayaan. Seorang jaga sekolah tidak jemu-jemu meronda, berjaga, memeriksa kawasan sekolah demi menjamin keselamatan sekolah dan harta bendanya. Pemandu bas akan bangun awal.. menghantar pelajar-pelajar ke sekolah dan menghantar ke rumah ketika waktu balik. Ibu dan bapa bekerja dengan bertungkus lumus bagi mencari rezeki dalam membesarkan anak-anaknya agar menjadi orang yang berguna satu hari kelak.

Anda sebagai pelajar tentunya wajib menjalankan tugas anda sebagai pelajar. Anda tidak diminta untuk menjalankan tugas lain yang tidak bersangkutan dengan status anda. Jika anda lari dari tanggungjawab sebenar anda...maka tujuan anda ke sekolah boleh dipertikai oleh pihak lain. Kesungguhan anda menjalankan tugas anda sebagai seorang pelajar sebenarnya boleh diperhatikan.

Contoh di bawah dapat menggambarkan dengan jelas kesungguhan anda memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pelajar...Renungkanlah.











Semoga berjumpa lagi.

Demam Peperiksaan


Salam kunjungan untuk semua. Bertemu lagi kita di ruang maya ini. Bagaimana dengan peperiksaan Pertengahan Tahun? Setakat hari ini... harap-harap semuanya berjalan dengan baik.

Meninjau seketika gerak-geri rakan-rakan anda yang sedang demam untuk menghabiskan peperiksaan sebelum bercuti pertengahan tahun... banyak aksi-aksi luar jangka yang dipamirkan di sekolah.. ada yang pendiam, gelabah, serba tak kena, ada juga yang seperti tidak ada apa-apa yang penting berlaku.

Sebelum kertas bermula... ramai yang sibuk mengulangkaji, berbincang dengan rakan, membaca buku, membaca nota, melihat sekali lalu pelajaran yang lepas-lepas... tidak kurang juga yang bersantai sambil berbual-bual kosong.

Apa pun reaksi yang diperhatikan... sepatutnya semua pelajar mempunyai kesedaran bahawa peperiksaan itu penting dalam menilai sejauh mana kita menjalankan tugas kita sebagai seorang pelajar.... sejauh mana kita menunaikan janji senyap kepada ibubapa atau penjaga kita. Tidak kurang juga yang berjanji dengan lisan yang jelas dan penuh yakin demi menggembirakan insan tersayang.

Adalah sangat malang jika peperiksaan yang sedang dihadapai tidak memberi apa-apa makna kepada anda... ada juga yang beranggapan, hanya peperiksaan PT3 dan SPM sahaja yang penting manakala peperiksaan lain tidak penting. Tanggapan salah seperti ini akan terus mendodoi dan membuai anda sehingga anda lupa siapa anda dan kenapa anda perlu berada di sekolah?

Pelajar yang baik dan ikhlas dalam menjalankan tugasnya sebagai pelajar tentunya akan mendapat bantuan Tuhan Yang Maha Kuasa. Niat suci murni disertai dengan usaha yang gigih dan doa tentunya tidak akan mengecewakan. Sampai masa... pasti anda akan menangis kegembiraan sambil menuai erti kemanisan satu kejayaan.
Jumpa lagi.

Sunday, April 22, 2012

Saintis Muda

Salam kepada semua pengunjung. Harap anda semua berada dalam keadaan yang baik. Pada kali ini kita akan melihat ciri-ciri seorang bakal saintis. Sesungguhnya ciri-ciri berkenaan sudah boleh diperhatikan ketika di bangku sekolah lagi. Jika anda mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan di bawah ini... anda mungkin layak untuk digelar "Saintis Muda"..


1- Sangat minat matapelajaran sains dan kerap bertanya soalan-soalan yang berkaitan dengan mata pelajaran berkenaan ketika belajar di dalam kelas.


2-Suka menjalankan eksperimen. Suka mencuba eksperimen yang baru. Tidak takut dan tidak kekok semasa menjalankan eksperimen.


3-Minat membaca buku-buku sains dan sentiasa membaca buku-buku berkaitan sains.


4- Tidak pernah berputus asa, kecewa dan lemah semangat. Seorang yang berhati waja dan sentiasa ingin mencuba sesuatu perkara yang baru


5-Soalan-soalan sains dapat dijawab dengan mudah. Suka datang ke hadapan kelas dan kerap mengangkat tangan untuk menjawab soalan-soalan guru sains.


6-Sentiasa mendapat markah yang cemerlang bagi setiap ujian dan peperiksaan sains.


Adakah anda mempunyai ciri-ciri di atas?
Jumpa lagi...

Thursday, April 5, 2012

Cergas Minda

Salam dan bertemu lagi di ruang maya celiksains.blogspot.com/.
Terima kasih kepada semua pelawat yang sudi bertandang ke blog ini. Semoga anda mendapat sesuatu yang bermanfaat di sini.

Pada tahun lepas, Cikgu telah terjumpa sebuah teka-teki berbentuk matematik di dalam sebuah blog. Cikgu terlupa untuk mencatat nama blog berkenaan. Kemungkinan Ayies Life seperti yang tercatat di bawah ada kaitan. Terima kasih tidak terhingga kepada tuan blog yang bagi Cikgu sangat kreatif dalam mencari soalan yang agak mencabar minda.

Ingin rasanya berkongsi dengan semua pelawat yang hadir. Moga-moga dapat menyegarkan sedikit minda kita yang tentunya jarang digunakan secara maksimum. Cuba selesaikan.. semoga anda berjaya..


Sehingga berjumpa lagi di lain masa. Terima kasih dan selamat mencuba.
Cikgu Nordin

Saturday, March 31, 2012

Pemerhatian Vs Inferens

Selamat bersua lagi di laman celiksains.blogspot.com/. Keputusan SPM telah diketahui... pelbagai gelagat calon dapat dilihat sebaik sahaja melihat keputusan masing-masing. Debaran menanti keputusan sudah semakin dilupakan... kini sedang pening kepala memilih hala tuju berbekalkan keputusan yang diperolehi. Jika tersalah pilih tentu menyesal tak sudah.

Jika anda menduduki peperiksaan SPM tahun ini..semua hal berkenaan mungkin tidak begitu penting bagi anda. Apa yang lebih utama ialah mengatur strategi dan berusaha dengan gigih bagi memperolehi keputusan yang diharapkan.

Pada slot kali ini, Cikgu akan berbincang tentang sepasang kemahiran proses iaitu membuat pemerhatian dan membuat inferens. Kedua-dua kemahiran proses ini sememangnya tidak asing bagi calon-calon Sains SPM. Mungkin anda beranggapan kedua-duanya adalah mudah. Daripada pengalaman Cikgu, sebenarnya ramai yang keliru untuk membezakan dua kemahiran proses ini. Ditanya pemerhatian, dijawab inferens begitu juga sebaliknya.


Cuba anda lihat contoh ujikaji di atas. Boleh anda nyatakan ketiga-tiga pembolehubah yang terlibat? Jika anda dapat nyatakan dengan tepat...anda hebat! Pembolehubah MN ialah Kehadiran garam atau kehadiran bendasing. Pembolehubah BB ialah Bacaan takat didih air. manakala pembolehubah ML ialah isipadu air.
Boleh anda berikan pemerhatian dan inferens? Jawapannya ialah takat didih air dalam bikar (b) lebih tinggi berbanding takat didih air dalam bikar (a). Inferens pula ialah Kehadiran garam atau kehadiran bendasing menyebabkan takat didih air meningkat. Perlu diingat, jika soalan 1 dan 2 adalah jenis merujuk antara satu sama lain maka jawapan kedua mesti selari dengan jawapan pertama. Maksudnya jika pemerhatian yang anda beri dalam bentuk perbandingan, inferens juga mesti dalam bentuk perbandingan kerana soalan inferens merujuk kepada soalan pemerhatian.

Jika anda memberikan jawapan yang terbalik, ini menunjukkan anda masih tidak memahami apa yang dikatakan pemerhatian dan inferens. Ada juga calon yang menulis hipotesis bagi menjawab soalan inferens. Berhati-hatilah ketika menjawab soalan. Jawab apa yang diminta bukan menjawab apa yang anda tahu.. Hingga berjumpa lagi. Selamat belajar.
Cikgu Nordin

Monday, March 26, 2012

Kenangan Itu..

Berapa ramai yang menghargai kenangan sebegini?

Salam untuk semua pengunjung dan pelawat celiksains.blogspot. Bersua lagi kita di lapangan maya ini.. semoga anda semua berada di dalam keadaaan yang sihat dan mengembirakan.

Keputusan telah dikeluarkan. Ada calon-calon yang tersenyum puas kerana usaha dan keringat yang dicurahkan selama ini telah berbaloi. Tidak kurang juga yang masih bersedih hiba kerana apa yang diharap tidak berlaku dan ada juga yang tidak kisah walaupun keputusan tidak menyebelahi mereka.

Kenangan bersama rakan dan guru mungkin satu masa nanti akan mengusik naluri anda. Suatu kenangan yang sukar untuk dicari ganti. Sesungguhnya kenangan bersama rakan dan guru-guru sangat mahal dan selepas ini kenangan lain pula yang akan dilalui. Peristiwa lepas akan menjadi sejarah di dalam lipatan kenangan kita.

Ramai yang tersenyum sendiri apabila teringatkan kenangan zaman persekolahan. Ada juga yang benci dengan kenangan silamnya. Hakikatnya, semua kenangan yang telah dilalui tidak akan berulang untuk kali kedua…jika mungkin berlaku, tentunya tidak sama. Hargailah masa dan ketika ini, agar anda berbangga di masa akan datang.

Bagi pelajar yang masih belum menamatkan zaman persekolahan, lakarkan kenangan-kenangan  indah anda bersama rakan dan guru dengan sebaiknya…kenangan-kenangan yang mungkin akan membuatkan anda tersenyum suatu hari nanti, kenangan yang bakal anda ceritakan kepada ganerasi anda yang akan datang.

Jangan sesekali menyalahkan atau menyesali kenangan anda..Kemungkinan anda yang tidak tahu cara untuk mengindahkannya. Kenangan itu sangat indah. Indahkan ia dengan ciri-ciri yang positif. Jangan kotori kenangan anda dengan sesuatu yang negatif kerana anda sedang mencipta sejarah anda sendiri. Sejarah yang akan anda banggakan.

Terima kasih kawan-kawan dan guru-guru semua kerana sudi menemaniku menempuh alam persekolahan yang penuh dengan cabaran ini… terima kasih untuk semua.

Friday, February 24, 2012

Mencari Ilmu

Jadilah Bekas yang Terbaik

Salam untuk semua pengunjung terutamanya kepada calon-calon SPM dan PT3. Bersua lagi kita di laman maya ini. Semoga anda semua dilimpahi dengan kesihatan yang baik dan sentiasa di dalam pemeliharaan yang Esa.

Membuka lembaran baru tahun baru dengan azam dan harapan agar apa yang dicita-cita akan tercapai. Bagi semua calon peperiksaan mungkin baru sahaja selesai menduduki ujian pertama. Harap-harap keputusan yang diperolehi memuaskan seperti yang dihajati.

Pada kali ini, Cikgu akan berbicara tentang peranan adik-adik sebagai seorang pelajar. Adakah adik-adik semua telah menjalankan tugas sebaiknya sebagai seorang pelajar seperti yang diharapkan oleh ibubapa dan guru adik-adik? Mungkin apa yang diharapkan di dalam peperiksaan tidak pernah berlaku. Mungkin juga belum berlaku. 

Ada yang sudah cukup berpuas hati ketika menghantar kertas peperiksaan, tetapi malangnya markah yang diperolehi jauh dari apa yang diharapkan. Rakan seperjuangan yang nampak lebih sempoi dan tak begitu ambil kisah tentang pelajaran pula dapat skor dengan baik bagi setiap ujian. Kenapa?

 Siapa yang akan menjadi pilihan ilmu ?

Persoalan ini agak rumit untuk dirungkai dan dijawab. Kenapa kadang-kadang ilmu itu sangat memilih orang? Adakah kita tidak cukup serasi dengan ilmu yang dipelajari? Apa yang diajar di sekolah dan pusat-pusat tuisyen nampak sama sahaja...cikgu pun tidak pernah berat sebelah ketika mengajar. Kenapa kita masih sukar memahami ilmu berbanding rakan kita yang lain.

Secara zahirnya kepala kita mungkin lebih besar dari kepala orang lain. Dicongak secara jahil tentunya otak kita lebih besar. Kita kuat study dan kuat berfikir, belajar sampai nak pecah kepala. Study sampai jauh malam, tuisyen pula merata-rata, buku rujukan berlambak-lambak ... tetapi kenapa masih tidak dapat menguasai sesetengah ilmu? Keliru, frust...kecewa atau putus asa?

Bekas Manakah yang Paling Sesuai Untuk 
Mengisi Minuman Adik-adik atau ada bekas lain yang 
lebih baik daripada bekas-bekas di atas?

Jika kebuntuan melanda.. hati tidak lagi tenteram, bimbang, gelisah tentang pelajaran. Jalan yang paling baik ialah kembali kepada konsep menuntut ilmu itu sendiri. Ilmu adalah suatu anugerah yang tidak ternilai kurnian dari Yang Maha Esa. Sumber datangnya ilmu adalah dari sumber yang suci. Tidak kira apa jenis ilmu, Sains, Matematik, Bahasa atau apa sahaja ilmu yang baik adalah datang dari sumber yang mulia dan sudah tentu tujuannya juga adalah mengajar manusia menjadi lebih baik.

Untuk memudahkan pemahaman adik-adik, anggaplah manusia itu sebagai sebuah bekas yang boleh diisi. Bekas yang baik sudah tentu lebih elok diisi dengan minuman atau makanan yang baik manakala bekas yang kotor lebih sesuai untuk diletak sesuatu yang kotor juga. Ilmu yang baik tentunya akan turun ke dalam bekas yang baik juga. Ini bermaksud adik-adik perlu menjadi bekas yang terbaik terlebih dahulu agar ilmu-ilmu yang baik datang dekat kepada adik-adik.

 Doa Adalah Tanda Penyerahan Diri 
Hamba kepada Penciptanya

Cuba lihat sejauh mana kita menjaga hubungan kita dengan pencipta serta makhluk-makhluk ciptaannya. Bagaimana hubungan kita dengan ibubapa yang melahirkan kita, hubungan kita dengan guru-guru kita, hubungan kita sesama rakan dan juga makhluk Tuhan yang lain? Sejauh mana kita bersyukur terhadap anugerah yang melimpah-ruah yang diberikan Tuhan? Bagaimana taatnya kita menjalankan perintah dan menjauhkan larangan yang digariskan oleh agama kita?

Tuhan Juga Menunjuk Jalan Kepada Haiwan 
Untuk Mendapatkan Rezekinya.

Janganlah adik-adik malas untuk berfikir... haiwan pun diberi akal untuk menyelesaikan masalah hidupnya. Kita sebagai manusia apa lagi yang menjadi halangan untuk menjadi baik dan mensyukuri nikmat tuhan. Berubahlah untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik. Jadilah bekas yang terbaik agar ilmu yang terbaik akan dipermudahkan kepada kita. Semoga kita akan lebih mudah menguasai ilmu, rajin dan sentiasa berusaha serta tidak putus asa dalam mencari ilmu.

Sentiasalah meminta restu dan doa daripada ibubapa, dan guru adik-adik. Jangan sesekali menyakitkan hati mereka. Jaga hubungan baik sesama rakan, manusia dan mahkluk Tuhan yang lain. Jangan lupa juga sentiasa memohon ampun dan rahmat dari-Nya. Moga-moga niat suci adik-adik untuk berjaya dalam hidup akan dipermudahkan-Nya.

Sekian untuk kali ini...hinga bersua lagi.
Cikgu Nordin