Come With Hope, Back With Success."

Monday, March 28, 2011

KPS: Eksperimen


Salam untuk semua pelawat celiksains.blogspot.com/
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan berkaitan dengan kemahiran proses yang terakhir iaitu kemahiran membuat eksperimen.

Kemahiran mengeksperimen ialah penggunaan beberapa kemahiran proses sains dalam mencari jawapan kepada sesuatu persoalan atau masalah.

Secara mudahnya, eksperimen dijalankan bagi membuktikan hipotesis. Seperti yang dihuraikan sebelum ini, hipotesis adalah kenyataan awal yang belum dibuktikan kebenarannya. Bagi membuktikan samada sesuatu hipotesis itu dapat diterima atau tidak adalah dengan menjalankan eksperimen.

Hipotesis yang telah diuji selalunya akan diterima sebagai teori dan akan dikaji oleh individu yang lain pula.


Urutan langkah menjalankan eksperimen adalah seperti berikut :
1- Membuat pemerhatian
2-Membuat inferens
3-Mencadangkan hipotesis
4-Mengemukan cara menguji hipotesis (langkah eksperimen)
5-Mengenalpasti pembolehubah
6-Menjalankan aktiviti (eksperimen)
7-Mengumpul maklumat
8-Mentafsir maklumat
9-Menyatakan samada hipotesis betul atau tidak

Kemahiran membuat eksperimen adalah kemahiran bersepadu aras tinggi yang bersistematik. Jika langkah eksperimen tidak dituruti dengan betul, keputusan yang diperolehi berkemungkinan tidak tepat dan boleh dipersoalkan.

Kemahiran mengeksperimen kerap kali digunakan di dalam makmal sekolah. Walaupuin ia kerap digunakan, tidak ramai pelajar yang mengikut garis panduan atau tatacara membuat eksperimen dengan betul.

Budaya melakukan penyiasatan atau eksperimen yang betul akan melatih generasi yang berbudaya saintifik dan tidak terhad kepada mata pelajaran sains sahaja.

Sehingga berjumpa lagi. Selamat belajar.
Cikgu Nordin

KPS: Hipotesis

Salam untuk semua pelawat celiksains.blogspot.com/
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan pula tentang kemahiran membuat hipotesis.

Hipotesis ialah kenyataan umum yang difikirkan benar dan menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Walaupun begitu kenyataan berkenaan perlu diuji terlebih dahulu untuk menentukan kebenarannya. Ini bermaksud hipotesis yang dibuat boleh jadi benar atau tidak.

Latihan
Dua objek dijatuhkan dari ketinggian yang sama iaitu bola dan kertas.






Langkah penyelesaian:
1-Pelajar mencari faktor yang mempengaruhi objek jatuh
(antaranya :bentuk objek, berat objek, saiz objek dan lain-lain)
2-Berdasarkan kefahaman dan pengetahuan lepas, murid mengemukan beberapa penerangan lanjut untuk menghuraikan hubungan antara faktor dan masa objek jatuh.
3-Penerangan lanjut pelajar:
A-Objek yang berat jatuh lebih cepat berbanding objek yang ringan
B-Semakin larus bentuk objek, semakin laju objek jatuh.

Kesimpulan : Penerangan lanjut yang diberikan di atas ialah hipotesis

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi.
Cikgu Nordin

KPS: Def. Operasi


Salam untuk semua calon-calon PMR dan SPM.
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan pula tentang KPS yang berikutnya iaitu kemahiran mendefinisi secara operasi.

Mendefinisi secara operasi ialah proses memberi definisi tentang sesuatu konsep dengan menyatakan perkara yang boleh dilakukan dan diperhatikan.

Ia membolehkan pembezaan di antara contoh dan bukan contoh bagi konsep yang dihuraikan.

Kepentingan kemahiran ini ialah:
1-Menghurai konsep dalam bentuk yang boleh dikendalikan
2-Pemerhatian dan pengukuran boleh dilakukan bagi pembolehubah
3-Membezakan di antara contoh dan bukan contoh sesuatu konsep

Kaji dua kenyataan di bawah:
1-Cerek elektirik ialah sebuah alat elektrik
2-Cerek elektrik ialah alat untuk mendidihkan air

Apakah perbezaan antara kedua kenyataan di atas. Huraian 1 adalah bersifat konsep manakala huraian 2 merujuk kepada fungsi alat yang boleh diperhatikan. Kesimpulanya kenyataan 1 adalah definisi konseptual manakala kenyataan 2 adalah definisi secara operasi.

Contoh 1
Berikut adalah dua kenyataan mengenai asid
A-Asid ialah bahan yang mengandungi hidrogen
B-Asid adalah bahan yang menukarkan kertas litmus biru kepada merah.

Apakah perbezaan kenyataan di atas?
Tentukan yang mana satu definisi secara operasi?

Jawapan:
Kenyataan B-Asid menukarkan kertas litmus boleh dilakukan dan diperhatikan manakala kenyataan A tidak boleh diperhatikan.
Kenyataan B ialah definisi secara operasi.

Selamat belajar dan jumpa lagi.
Cikgu Nordin

KPS: Pembolehubah

Salam untuk semua pelawat celiksains.blogspot.com/
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan satu lagi KPS aras 2 (tinggi) iaitu mengawal pembolehubah.

Apabila kita mengkaji perkaitan antara dua pembolehubah tertentu, salah satu daripadanya (pembolehubah dimanipulasikan) diubah. Perubahan dalam pembolehubah ini akan menyebabkan perubahan-perubahan dalam pembolehubah bergerakbalas.

Dalam sains, “mengawal pembolehubah” bermaksud menjadikan sesuatu pembolehubah itu malar.

Dalam sesuatu penyiasatan, untuk memerhati hubungan antara dua pembolehubah, salah satu daripadanya dimanipulasi bagi menghasilkan perubahan dalam pembolehubah kedua.

Pada masa yang sama, pembolehubah lain yang mungkin akan mempengaruhi keputusan akan dimalarkan. Tindakan ini dinamakan prose “mengawal pembolehubah”

Pembolehubah yang biasa digunakan di sekolah dinamakan pembolehubah dimanipulasi, bergerak balas dan dimalarkan.

Berikut adalah contoh soalan mencari pembolehubah:

Rajah di atas menunjukkan empat jenis air yang sama dengan tahap kepanasan yang berbeza. Setitik pewarna makanan dititik ke dalam setiap bekas dan diperhatikan masa pewarna memenuhi keseluruhan bekas berkenaan.
Nyatakan pembolehubah dimanipulasi, Bergerakbalas dan dimalarkan.


Jawapan
Dimanipulasi : Kepanasan cecair/ suhu air
Bergerakbalas : Masa pewarna makanan memenuhi bekas
Dimalarkan : Jenis cecair, Jenis pewarna makanan


Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi.
Cikgu Nordin.

KPS: Tafsir Data


Salam untuk semua pelawat celiksains.blogspot.com/
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan satu KPS aras 2 (tinggi) iaitu kemahiran mentafsir data.

Mentafsir data ialah proses memberi penerangan rasional tentang objek, peristiwa atau pola daripada data yang dikumpul.

Data yang dikumpul mungkin dalam pelbagai bentuk seperti jadual, gambarajah, graf, gambar dan lain-lain.

Kepentingan mentafsir data membolehkan kita:
1-Mendapat sebanyak mungkin maklumat dari jadual, graf dan gambarajah
2-Melihat hubungan antara pembolehubah yang terlibat
3-Membuat sesuatu rumusan.

Contoh :
Lihat graf di bawah dan jawab soalan iringan yang berikutnya.
Graf menunjukkan bilangan orang awan yang menaiki jenis pengangkutan yang berbeza.
 
1-Kendaraan manakah yang paling banyak dinaiki oleh orang awam?
2-Berapakah jumlah yang sepadan dengan bas?
3-Pada pendapat anda, kenderaan manakah yang berpotensi menjadi pengangkutan utama pada masa hadapan? Berikan sebab?

Jawapan yang diberikan kemungkinan:
1-Kenderaan bermotor
2-552.5
3-LRT. Kesesahan lalulintas di jalan raya.

Semua jawapan di atas sebenarnaya adalah jawapan yang diberi disebabkan pemerhatian dan keupayaan mentafsir data pada graf. Jika jawapan salah diberikan, ia menunjukkan kegagalan calon mengunakan petunjuk dalam graf bagi membuat tafsiran dan keputusan tepat.

Sehingga berjumpa lagi..
Cikgu Nordin

KPS: Ruang Masa

Salam untuk semua pelawat celiksains.blogspot.com/
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan berkaitan dengan kemahiran menggunakan ruang dan masa.

Kemahiran menggunakan ruang dan masa merupakan satu proses memperihalkan atau menunjukkan lokasi, arah, bentuk dan saiz sesuatu objek dan perubahan mengikut masa.

Contoh 1
Rajah di bawah menunjukkan hubungan antara masa dan isipadu.
Apabila masa bertambah, apakah yang akan terjadi kepada saiz dan ketulan ais?

Semakin bertambah masa, semakin kecil bentuk (saiz) ais.
Jawapan anda mesti menerangkan perhubungan ruang (bentuk dan saiz) dengan perubahan masa.

Kepentingan Kemahiran ini:
1- Menyedarkan kita bahawa setiap perubahan itu adalah mengikut masa
2-Membantu kita menyusun peristiwa mengikut kronologi

Sekian sehingga berjumpa lagi,
Selamat belajar
Cikgu Nordin

KPS: Komunikasi


Salam untuk semua pelawat celiksains.blogspot.com/
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan pula tentang kemahiran berkomunikasi

Komunikasi merupakan cara untuk mengemukakan idea atau menyampaikan maklumat dalam pelbagai bentuk seperti :
Lisan, tulisan, lukisan, model, jadual, graf, gambarajah, carta, peta, simbol, persamaan matematik dan sebagainya.

Di antara komunikasi yang biasa ditekankan di peringkat PMR dan SPM ialah komunikasi menggunakan graf. Komunikasi jenis lain banyak digunakan semasa menjalankan eksperimen.

Kepentingan Berkomunikasi
1-Menyampai idea, perasaan, dan keperluan kepada orang lain
2-Menguasai cara yang pelbagai bagi menyampaikan maklumat
3-Maklumat perlu jelas, tepat dan ringkas
4-Menyusun dan menyisih data dengan kemas dan teratur

Rajah di bawah menunjukkan komunikasi menggunakan graf.



Rajah di bawah menunjukkan komunkasi secara rajah.





Sekian untuk kali ini.
Sehingga berjumpa lagi.
Cikgu Nordin

KPS: Meramal


Salam untuk semua calon-calon PMR dan SPM.
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan pula berkaitan KPS berikutnya iaitu membuat ramalan.

Ramalan atau meramal adalah proses menentukan dan menjangka peristiwa yang akan datang berasaskan kepada pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau data yang boleh dipercayai.

Pemerhatian yang dimaksudkan mungkin peristiwa, keadaan, situasi atau keputusan eksperimen. Manakala pengalaman boleh merujuk kepada pengetahuan sedia ada yang dimiliki oleh pembuat ramalan. Data yang boleh dipercayai pula merujuk kepada set data yang dikumpulkan secara sah. Ia juga bermaksud ramalan yang dibuat perlu logik dan berkemungkinan akan berlaku.

Panduan ketika membuat ramalan:
1-Menggunakan bukti atau data semasa
2-Menentukan hasil mungkin dari tindakan
3-Yakin dengan ketepatan jangkaan yang dibuat
4-Mengesahkan jangkaan daripada bukti dan pengalaman lepas

Lihat gambar dan kenyataan yang berkaitan
Yang mana satu ramalan
A-Tembakan tidak kena sasaran
B-Tembakan terkena sasaran

Jawapan
Kedua-dua kenyataan adalah ramalan jika anda membuat andaian daripada pengalaman dan pengetahuan sedia ada anda.


Latihan 1
Kenalpasti kenyataan berbentuk ramalan.
1-Air batu mencair
2-Air batu akan mencair
3-Air batu akan mencair semuanya

Jawapan.
Kenyataan 3 adalah ramalan manakala kenyataan 1 dan 2 adalah pemerhatian


Sehingga berjumpa lagi. Selamat belajar.
Cikgu Nordin

KPS : Inferens


Salam untuk semua calon-calon PMR dan SPM.
Pada post kali ini, cikgu akan menerangkan pula berkaitan KPS yang berikutnya iaitu membuat inferens.

Ramai calon-calon peperiksaan keliru antara inferens dan pemerhatian walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan yang begitu ketara. Ramai pelajar menulis pemerhatian apabila soalan mahukan  inferens.

Inferens ialah kenyataan tentang sesuatu objek atau peristiwa berdasarkan pemerhatian yang merupakan penerangan. Penerangan mungkin betul atau tidak.

Calon tidak perlu bimbang ketika memberikan inferens. Ada calon risau apabila kenyataan inferens yang diberikannya adalah berbeza daripada rakan lain. Inferens berkemungkinan terdapat lebih daripada satu bagi sesuatu situasi atau peristiwa. Apa yang penting, kenyataan inferens perlulah logik dan mengikut garis panduan penulisan inferens yang betul.

Lihat gambar di atas. Apakah maklumat yang boleh diberikan berdasarkan jawapan di atas? Kenalpasti yang mana satu inferens dan pemerhatian.

Kenyataan yang mungkin :
1-Daun itu bertompok-tompok coklat
2-Tompok-tompok mungkin disebabkan oleh racun
3-Terdapat lubang-lubang pada daun
4-Luang-lubang itu adalah hasil gigitan serangga

Jawapan:
Kenyataan 1 dan 3 adalah pemerhatian manakala kenyataan 
2 dan 4 adalah inferens.
---------------------------------------------------------------------------



Berdasarkan gambar di atas yang manakah satukah penyataan yang berkaitan dengan inferens?
1-Kedua-dua kaki gadis itu tidak mencecah tanah
2-Gadis itu sedang memandang ke hadapan
3-Gadis itu sedang melihat lampu isyarat
4-Gadis itu berambut panjang

Jawapan :
Kenyataan 3 sahaja adalah inferens, kenyataan yang lainnya dalah pemerhatian

Dengan latihan yang cukup, Cikgu percaya semua calon peperiksaan akan semakin mahir.

Sehingga berjumpa lagi. Selamat belajar.
Cikgu Nordin

KPS: Mengukur

Salam untuk semua pengunjung.

Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan tentang KPS yang seterusnya iaitu Mengukur dan Menggunakan Nombor. Sebenarnya kemahiran ini telah digunakan dengan meluas di dalam mata pelajaran matematik dan sains. Cuma kadang-kadang ia tidak begitu diambil peduli oleh calon. Ada calon yang menganggap soalan jenis ini adalah mudah. Ramai juga yang membuat kesalahan ketika menjawab soalan jenis ini.

Apakah kemahiran mengukur dan menggunakan nombor?
Kemahiran ini adalah pemerhatian yang dibuat secara kuantitatif dengan menggunakan unit rujukan atau alat berunit piawai

Ketika mengaplikasi kemahiran ini, seseorang akan :
1-Menggunakan alat-alat ukuran dengan tepat
2-Menganggar jarak, luas, isipadu dalam situasi tertentu
3-Membuat ramalan dan inferens dengan tepat
4-Menggunakan kemahiran mengira
5-Menggabungjalin dengan kemahiran proses lain
6-Membiasakan diri dengan ukuran am seharian

Alat ukuran yang dimaksudkan terdiri daripada dua jenis iaitu piawai (pembaris, bikar, neraca dan sebagainya) dan bukan piawai (jengkal, kaki, hasta dan sebagainya). Semasa menjawab soalan peperiksaan, penggunaan alat ukuran piawai dan unit piawai itu sendiri adalah lebih diutamakan.

Kemahiran ini juga membantu calon ketika menghubungkan data ukuran dengan  kemahiran proses lain seperti inferens, ramalan dan sebagainya. KPS aras tinggi ini secara tidak langsung akan membantu pelajar dan calon agar lebih memahami sesuatu eksperimen atau peristiwa yang berlaku.

 
 

 Antara alat pengukuran yang biasa digunakan.



Rajah di atas menunjukan bagaimana kemahiran mengukur dan menggunakan nombor diaplikasikan. Alatan yang digunakan adalah pembaris. Data bagi ukuran cermin mata dilihat dari perspektif ukuran yang berbeza-beza. Cara data di atas dikumpul menunjukkan pemahaman dan gabungan kemahiran proses permerhatian kuantitatif yang baik.

Ketika menjawab soalan peperiksaan, calon diingatkan agar mengambil berat tentang penulisan unit piawai yang diminta. Kegagalan menulis unit mungkin menyebabkan calon kehilangan markah bagi soalan berkenaan.

Sehingga berjumpa lagi.
Cikgu Nordin

KPS : Mengelas

Selamat bersua kepada semua pengunjung terutamanya pelajar-pelajar sekolah menengah yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini. 

Pada kesempatan kali ini, Cikgu akan menerangkan tentang satu lagi Kemahiran Proses Sains (KPS) iaitu Kemahiran Mengelas. Cuba lihat rajah lego di bawah. Sebelum sesuatu objek dibentuk, adalah perlu  seseorang  itu mengenal pasti perbezaan bentuk serta warna yang terdapat pada lego berkenaan. Keupayaan seseorang itu melihat lego sebagai satu unit yang sama atau berbeza akan mempengaruhi penampilan bentuk yang bakal dibina.


Pengelasan boleh didefinisikan sebagai pengumpulan objek dengan ciri sepunya yang boleh diperhatikan ke dalam kumpulan yang sama. 

Semasa menggunakan kemahiran mengelas seseorang calon perlu :
1-Mengesan persamaan dan perbezaan yang dapat dilihat
2-Mengumpul sesuatu berdasarkan ciri-ciri sepunya
3-Menghuraikan cara pengkelasan yang digunakan
4-Mengumpul menggunakan pelbagai cara berdasarkan kriteria berbeza

Lihat rajah di bawah.
Apakah pengekelasan yang boleh dibuat?
Kemungkinan ada calon yang melihat dari perspektif yang berbeza. Walaupun begitu, ia tidak dilihat sebagai satu kesalahan ketika mengelas. Pandangan antara kita adalah berbeza-beza. Bagi menjawab soalan peperiksaan, selalunya panduan menjawab (guide)  akan diberikan agar calon tidak jauh tersasar dari persoalan pokok.

Sebagai contoh, anda boleh mengelaskan objek di bawah mengikut fungsi atau mengikut harga atau mengikut warna, saiz dan lain-lain lagi, Perlu diingat di dalam peperiksaan, tema pengkelasan mestilah tidak lari daripada persoalan utama yang ditanya.



Latihan 2
Buat pengkelasan yang sesuai bagi wajah-wajah di bawah.


Kemungkinan jawapan :
1-Bentuk mata
2-Jenis rambut
3-Bentuk kepala
4-Bentuk hidung dan banyak lagi..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sehingga berjumpa lagi pada post berikutnya.
Cikgu Nordin

Wednesday, March 23, 2011

KPS : Memerhati

Salam untuk semua pengunjung.

Kemahiran Memerhati 
Memerhati merupakan kemahiran proses yang paling asas dan mudah. Definisi yang lebih lengkap, memerhati merupakan proses mengumpul maklumat tentang objek atau fenomena dengan menggunakan semua atau sebahagian daripada deria, alat atau instrumen yang boleh digunakan untuk membantu deria.

Kepentingan Kemahiran Memerhati
1-Menimbulkan rasa ingin tahu
2-Merangsang pemikiran
3-Membolehkan tafsiran dibuat tentang persekitaran
4-Membawa kepada penyiasatan selanjutnya


Jenis KPS

Salam untuk semua pengunjung celiksains.blogspot.com/
Pada post kali ini, Cikgu akan menerangkan serba sedikit tentang jenis-jenis KPS yang perlu dikuasai oleh calon-calon peperiksaan. Di dalam sukatan yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), terdapat lebih kurang 12 KPS yang perlu diajar kepada pelajar-pelajar samada secara sedar atau tidak sedar. Hampir kesemuanya digunakan dengan cukup meluas ketika anda melakukan eksperimen. 

Apakah faedahnya KPS ? 
Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa menguasai KPS dari segi intelek adalah lebih tinggi nilainya daripada hanya menguasai fakta dan perinsip-prinsip sains. Ahli sains zaman dahulu mengunakan KPS dengan meluas di dalam kehidupan mereka sehinggalah terhasilnya teori dan penemuan-penemuan baru yang berguna untuk kita pada hari ini. Saintis dahulu tidak mengetahui tentang KPS tetapi mereka mengamalkan KPS dalam kehidupan mereka.


Kuasai KPS

Selamat datang kepada semua pengunjung celiksains.blogspot.com/

Pada post kali ini Cikgu akan memberi sedikit pengenalan berkenaan Kemahiran Proses Sains atau lebih dikenali sebagai KPS. Terdapat 12 jenis KPS yang perlu dikuasai dan difahami oleh pelajar sekolah menengah. KPS digunakan dengan meluas oleh pelajar ketika melakukan eksperimen di makmal sains. KPS juga sangat berguna untuk membantu pelajar memahami sesuatu eksperiment, merancang eksperimen juga penting bagi membantu pelajar menjawab soalan kertas 2 bagi calon SPM.

Kegagalan pelajar memahami dan menguasai Kemahiran Proses Sains (KPS) akan menyukarkan pelajar untuk menjawab soalan berkaitan eksperimen dengan baik. Dari pemerhatian dan analisis tidak rasmi yang dibuat, jelas menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar begitu lemah ketika menjawab soalan-solalan kertas 2 yang berkaitan dengan eksperimen. Dengan latihan yang tidak mencukupi dan daya maju yang rendah, menyebabkan kejatuhan markah dalam peperiksaan dan ujian.


Thursday, March 17, 2011

Jenis Nota

Salam untuk semua pengunjung celiksains.blogspot.com/

Pada post kali ini, Abang akan menyambung perbincangan post yang lepas iaitu berkaitan pengambilan nota. Seperti yang diketahui sebelum ini, tujuan penulisan nota adalah sebagai  bantuan kepada tuannya. Jika nota yang ditulis kurang atau tidak membantu, maka nota berkenaan dianggap tidak berkesan.


Adakah anda rasa jemu menulis nota. Jika penulisan nota tidak memenuhi tujuannya, maka anda akan cepat "frust" dengan kerja dan minat terhadap mata pelajaran berkaitan akan mula menurun. Perlu diingat, buatlah sesuatu yang memang berbaloi untuk anda.

Berikut adalah contoh-contoh gaya penulisan nota yang biasa digunakan oleh pelajar :

1-Penulisan "Jenis Lateral" atau "Sejajar"
Penulisan jenis ini seolah-olah menyalin bulat-bulat. Gaya penulisannya lebih mirip kepada buku teks. Tentunya ia mem"boring"kan anda membacanya.



2-Penulisan jenis "lateral pelbagai"
Gaya penulisan ini menggabungkan penilisan jenis "lateral" dengan penegasan kepada bahagian tertentu seperti tajuk dan isi penting. Penulisannya lebih kemas dan tersusun. Walau bagaimanapun, gaya penulisan ini masih terikat seperti penulisan buku teks.

Thursday, March 3, 2011

Membuat Nota

Salam untuk semua, pada kali ini Abang One akan membincangkan tentang satu aspek penting dalam pembelajaran sains iaitu mencatat nota. Bagi pelajar-pelajar sains, nota merupakan satu kaedah penting untuk mencatat, menyimpan dan mengingat sesuatu yang dipelajarai.

Terdapat pelbagai tujuan sesuatu nota itu diambil. Ada juga antara pelajar yang tidak mengetahui tujuan ia mengambil nota. MENCATAT nota dan MENYALIN nota adalah dua perkara yang sangat berbeza. Ramai antara pelajar yang MENYALIN nota dan bukannya MENCATAT nota. MENYALIN lebih mirip kepada istilah COPY manakala MENCATAT lebih mirip kepada keperluan.

Semasa mencatat atau mengambil nota sains, aspek kegunaan mesti difahami. Apa tujuan anda mencatat nota ? Adakah sebagai satu aktiviti suka-suka, mengikut kawan atau disebabkan oleh arahan daripada guru anda ? Mungkin juga boleh ditanya adakah anda suka dengan nota yang anda catat ? Atau adakah anda sendiri menyampah melihat dan membaca nota yang anda buat ?