Salam untuk semua pengunjung terutamanya kepada calon-calon SPM dan PT3. Bersua lagi kita di laman maya ini. Semoga anda semua dilimpahi dengan kesihatan yang baik dan sentiasa di dalam pemeliharaan yang Esa.
Membuka lembaran baru tahun baru dengan azam dan harapan agar apa yang dicita-cita akan tercapai. Bagi semua calon peperiksaan mungkin baru sahaja selesai menduduki ujian pertama. Harap-harap keputusan yang diperolehi memuaskan seperti yang dihajati.
Pada kali ini, Cikgu akan berbicara tentang peranan adik-adik sebagai seorang pelajar. Adakah adik-adik semua telah menjalankan tugas sebaiknya sebagai seorang pelajar seperti yang diharapkan oleh ibubapa dan guru adik-adik? Mungkin apa yang diharapkan di dalam peperiksaan tidak pernah berlaku. Mungkin juga belum berlaku.
Ada yang sudah cukup berpuas hati ketika menghantar kertas peperiksaan, tetapi malangnya markah yang diperolehi jauh dari apa yang diharapkan. Rakan seperjuangan yang nampak lebih sempoi dan tak begitu ambil kisah tentang pelajaran pula dapat skor dengan baik bagi setiap ujian. Kenapa?
Siapa yang akan menjadi pilihan ilmu ?
Persoalan ini agak rumit untuk dirungkai dan dijawab. Kenapa kadang-kadang ilmu itu sangat memilih orang? Adakah kita tidak cukup serasi dengan ilmu yang dipelajari? Apa yang diajar di sekolah dan pusat-pusat tuisyen nampak sama sahaja...cikgu pun tidak pernah berat sebelah ketika mengajar. Kenapa kita masih sukar memahami ilmu berbanding rakan kita yang lain.
Secara zahirnya kepala kita mungkin lebih besar dari kepala orang lain. Dicongak secara jahil tentunya otak kita lebih besar. Kita kuat study dan kuat berfikir, belajar sampai nak pecah kepala. Study sampai jauh malam, tuisyen pula merata-rata, buku rujukan berlambak-lambak ... tetapi kenapa masih tidak dapat menguasai sesetengah ilmu? Keliru, frust...kecewa atau putus asa?
Bekas Manakah yang Paling Sesuai Untuk
Mengisi Minuman Adik-adik atau ada bekas lain yang
lebih baik daripada bekas-bekas di atas?
Untuk memudahkan pemahaman adik-adik, anggaplah manusia itu sebagai sebuah bekas yang boleh diisi. Bekas yang baik sudah tentu lebih elok diisi dengan minuman atau makanan yang baik manakala bekas yang kotor lebih sesuai untuk diletak sesuatu yang kotor juga. Ilmu yang baik tentunya akan turun ke dalam bekas yang baik juga. Ini bermaksud adik-adik perlu menjadi bekas yang terbaik terlebih dahulu agar ilmu-ilmu yang baik datang dekat kepada adik-adik.
Doa Adalah Tanda Penyerahan Diri
Hamba kepada Penciptanya
Cuba lihat sejauh mana kita menjaga hubungan kita dengan pencipta serta makhluk-makhluk ciptaannya. Bagaimana hubungan kita dengan ibubapa yang melahirkan kita, hubungan kita dengan guru-guru kita, hubungan kita sesama rakan dan juga makhluk Tuhan yang lain? Sejauh mana kita bersyukur terhadap anugerah yang melimpah-ruah yang diberikan Tuhan? Bagaimana taatnya kita menjalankan perintah dan menjauhkan larangan yang digariskan oleh agama kita?
Tuhan Juga Menunjuk Jalan Kepada Haiwan
Untuk Mendapatkan Rezekinya.
Janganlah adik-adik malas untuk berfikir... haiwan pun diberi akal untuk menyelesaikan masalah hidupnya. Kita sebagai manusia apa lagi yang menjadi halangan untuk menjadi baik dan mensyukuri nikmat tuhan. Berubahlah untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik. Jadilah bekas yang terbaik agar ilmu yang terbaik akan dipermudahkan kepada kita. Semoga kita akan lebih mudah menguasai ilmu, rajin dan sentiasa berusaha serta tidak putus asa dalam mencari ilmu.
Sentiasalah meminta restu dan doa daripada ibubapa, dan guru adik-adik. Jangan sesekali menyakitkan hati mereka. Jaga hubungan baik sesama rakan, manusia dan mahkluk Tuhan yang lain. Jangan lupa juga sentiasa memohon ampun dan rahmat dari-Nya. Moga-moga niat suci adik-adik untuk berjaya dalam hidup akan dipermudahkan-Nya.
Sekian untuk kali ini...hinga bersua lagi.
Cikgu Nordin