Come With Hope, Back With Success."

Monday, July 31, 2017

Fenomena Nur Madihah


Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal merupakan seorang anak nelayan dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kelantan. Mendapat keputusan terbaik SPM 2008, 20A dengan Pencapaian (19A1 dan 1A2)

Bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik Islam dan sangat meminati mata pelajaran berkenaan. Sebenarnya apa yang diperolehi oleh adik Nur Madhah adalah satu anugerah daripada Nya berkat kesabaran, kepayaan serta usaha gigih beliau selama ini.

Walaupun hadir dari keluarga susah, Nur Madihah mengharungi alam persekolahannya dengan cukup tabah dalam mengejar impiannya. Beliau rajin melakukan puasa sunat serta ibadah-ibadah sunat yang lain. Masa luangnya pula banyak dihabiskan di perpustakaan .

Kerana kemiskinan, beliau tidak mengikuti mana-mana kelas tambahan dan beliau juga tidak mempunyai jadual belajar yang khusus. “Saya belajar bila terasa nak belajar tanpa terpaksa atau dipaksa.” Itulah rahsia kejayaan beliau.

Sunday, July 30, 2017

Lebah Istimewa

Lebah Yang Istimewa


Hampir semua orang sukakan madu yang manis, tetapi tidak ramai yang tahu tentang lebah itu sendiri yang gigih mencari madu. Lebah madu atau dalam panggilan saintifiknya Apis mellifera satu makhluk kecil ciptaan Tuhan yang sungguh istimewa.
 

Kebiasaanya, lebah akan keluar mencari madu bunga seawal pagi pada ketika dan masa yang hampir sama setiap hari. Seolah-olah terdapat jam loceng semulajadi yang memberi tanda kepada lebah untuk keluar mencari makanan. Jika tidak silap, ada kajian tentang lebah yang dibawa menaiki pesawat ke suatu tempat yang lebih jauh dari habitatnya akan tetap keluar dari sarang mencari makanan walaupun waktu tempat barunya berlainan.Pada kebiasaannya lebah tidak akan bergerak jauh jika hari mendung atau berangin.

Kumpulan lebah pekerja yang rajin dan setia akan keluar secara berpecah untuk mencari madu bunga. Sebaik sahaja menemui lokasi bunga yang mengandungi madu lebah akan segera pulang ke sarang bagi memberitahu rakan-rakan lebah yang lain.

Tuesday, July 25, 2017

Sekitar Kem Sains PT3

Kem-kem Sains jangka pendek yang berlangsung di sekitar Kemaman Julai 2017.

PT3-SMK Kijal
Pusat Latihan Kerteh 
2 Julai 2017

Sekitar Pertandingan FLL

Pertandingan First Lego League (FLL) Malaysia 2017 telah diadakan di IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur 14- 16 Julai 2017. Cikgu berkesempatan mengiringi team dari Terengganu bagi memberi cabaran di pertandingan peringkat kebangsaan ini. Walaupun tidak meraih sebarang kejayaan, penyertaan kali pertama ini telah berjaya memberi pendedahan kepada pelajar baru tentang dunia robotik. Semoga pertandingan seperti ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.


Group Study

Salam kunjungan untuk semua. Tidak dapat dinafikan keberkesanan belajar secara berkumpulan telah melahirkan ramai orang yang berjaya. Ramai pelajar lemah dan sederhana telah mendapat manfaat dari kaedah ini. Setiap pelajar perlulah saling membantu di dalam proses untuk mendapatkan sebuah kejayaan. Alangkah bahagianya jika kejayaan dapat dikongsi bersama rakan-rakan dan sahabat baik.



Monday, June 6, 2016

Betulkan Niat Anda...

Salam kunjungan untuk semua. Peperiksaan Pertengahan Tahun baru sahaja tamat. Sekarang ada yang masih lagi bercuti dan kebetulan pula bulan ramadahan tahun ini bermula dalam cuti sekolah. Ramailah adik-adik yang ambil peluang untuk bercuti dan balik ke kampung. Tempoh dua minggu memang lama. Banyak perkara yang boleh berlaku.

Tidak kira apa yang adik-adik lakukan... perlu diingat peperiksaan semakin dekat. Masa terus berjalan tanpa dapat diundur walaupun sesaat. PT3 dan SPM semakin hampir. Bagi adik-adik yang pintar, masa cuti sebegini adalah masa emas bagi mereka mengulagkaji dan mentelaah pelajaran. Mereka sangat faham apabila sekolah dibuka nanti, mereka akan sibuk dengan latihan dan kerja yang banyak yang tentunya akan diberi oleh guru-guru. Semakin dekat masa peperiksaan, semakin banyak kerja yang perlu dibuat. Ramai yang semakin cemas dan risau. Sebelum masa itu tiba... berfikirlah dengan bijak.

Monday, August 11, 2014

Jangan Ambil Mudah..

Selamat datang kepada semua pengunjung, pembaca dan semua calon peperiksaan PT3 dan SPM 2014. Terlebih dahulu Cikgu ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Firti, maaf zahir dan batin. Cikgu harap... disamping kehangatan sambutan hari raya... jangan pula kita lupa tugas utama kita sebagai seorang pelajar.

Ujian-ujian dan penilaian-penilaian PT3 masih berjalan secara berterusan. Pelajar-pelajar yang terlibat perlu sentiasa peka terhadap setiap perubahan dan jadual yang ditetapkan. Anda juga perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi ujian dan penilaian yang akan dan sedang dijalankan.


Thursday, November 7, 2013

Menggapai Kejayaan

Selamat datang kepada semua yang sudi hadir ke blog celiksains.blogspot.com/. Selamat menghadapi peperiksaan. Ketika demam peperiksaan sedang melanda di seluruh negara, cikgu harap anda semua menjaga kesihatan dan bijak mengatur masa belajar. Gunakan masa senggang di antara peperiksaan dengan sebaik mungkin untuk membuat ulangkaji di saat akhir. 
Di kesempatan ini cikgu akan berikan sedikit panduan kepada semua calon SPM dalam mengharungi saat getir demam peperiksaan yang sedang melanda ketika ini. Pada masa ini semua strategi dan langkah terbaik perlu diambil agar anda berjaya mengharungi saat ini dengan bijak seterusnya berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang bagi setiap kertas yang diduduki.

1-Tidur dan rehat yang cukup
2-Jangan banyak makan makanan berlemak sebelum peperiksaan
3-Jangan datang lewat ke pusat peperiksaan
4-Dapatkan restu daripada ibubapa dan guru anda
5-Jangan percaya soalan target 100%
6-Jangan berbincang selepas habis sesuatu kertas. Fokus kertas berikutnya.
7-Sentiasa ingatkan diri tentang matlamat dan niat anda
8-Berdoa dan tawakkal kepada Yang Kuasa

Saturday, June 1, 2013

Hadapi Proses Itu...

Salam pertemuan dan selamat datang kepada semua pengunjung celiksains.blogspot.com/. Semoga anda semua sihat dan bahagia selalu.
Bagaimana persediaan anda semasa musim cuti sekolah. Adakah anda menghabiskan masa sepanjang dua minggu bercuti hanya semata-mata untuk bercuti atau dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran?  

Ramai yang tidak begitu faham dengan konsep sebenar pembelajaran. Pembelajaran dan pendidikan sangat berkait rapat. Ia adalah satu proses yang berterusan dan berkesinambungan dan bukannya bermusim. Ramai di antara calon-calon peperiksaan belajar secara bermusim. Mereka belajar hanya ketika minggu peperiksaan sahaja. Ada juga datang ke sekolah hanya untuk mengambil peperiksaan sahaja kemudian terus menghilang dan jarang datang ke sekolah.

Tuesday, February 5, 2013

Nilai Diri Anda..

Salam untuk semua pelawat dan pengunjung. Khas untuk calon-calon peperiksaan. Baru-baru ini, anda semua mungkin telah selesai menduduki peperiksaan awal tahun... setengah tempat juga dikenali sebagai ujian TOV. Mungkin  juga ada di antara anda yang telah mendapat keputusan bagi mata pelajaran sains... bagaimana?


Apa reaksi anda sebaik sahaja menerima keputusan ujian sains anda?

Seperti yang anda ketahui, ujian awal tahun atau TOV mengandungi soalan tahun lepas dan sedikit soalan-soalan tahun semasa mungkin juga termasuk soalan yang belum anda pelajari tajuknya. Ada yang beranggapan soalan awal tahun ini susah... bagi calon-calon yang mengikuti kelas tusyen dan kerap mengulangkaji... menjawab ujian seperti ini tidak menjadi satu masalah yang besar.

Jangan sombong!

Apapun keputusan yang anda dapat... jangan berputus asa. Usaha lagi pada ujian berikutnya agar anda mendapat keputusan yang lebih baik. Apa yang penting jangan sombong dan berlagak pandai. Hormati guru dan hak rakan lain untuk belajar. Jika kita merasai diri kita pandai.....  selalunya kita tidak akan menghormati hak rakan lain untuk belajar. Kita akan rasa angkuh dan kerap menimbulkan masalah di dalam kelas. Jika guru tidak dihormati... keberkatan ilmu akan hilang. Berubahlah sebelum terlambat.

Tiap usaha yang ikhlas pasti akan melakar kejayaan yang diharapkan. Kegagalan adalah langkah pertama kejayaan. 

Satu pengalaman di 3AA..... Jumpa lagi.
Cikgu Nordin

Monday, September 17, 2012

Bila tiba masa itu..

Salam pertemuan untuk semua...
Tidak lama lagi Peperiksaan PT3 akan tiba. Calon-calon sedang sibuk mentelaah pelajaran di saat-saat akhir... dengan harapan, usaha berkenaan dapat membantu mereka menghadapi peperiksaan yang bakal tiba. Syabas untuk anda...

Kejayaan itu memang manis. Semua orang inginkan kejayaan.. tetapi tidak ramai yang sanggup berusaha gigih untuk mencapainya. Ramai yang tewas di pertengahan jalan.


Jika persediaan cukup tentu tidak sabar menanti saat ini.
 

Saat bahagia yang bukan semua orang mampu merasainya. 
Adakah anda tergolong ke dalam kumpulan ini? 
Sudah semestinya..
Saat pahit manis zaman persekolahan jangan dipersiakan.

Penyudah yang tidak diingini
Ramai yang tidak pernah mengalaminya
Ada yang tidak tahu bahawa situasi ini memang ada
Inginkah anda tergolong dalam kumpulan ini?... 
Tentunya tidak


Peperiksaan bukan sekadar melihat pencapaian lulus gagal
Bukan sekadar jumlah A yang berjaya anda perolehi..
Juga bukan pujian yang diharapkan

Kejayaan adalah usaha anda mendidik diri...
Mendidik untuk menghargai ilmu pengetahun itu sendiri.

Apa yang cikgu ingin nyatakan di sini. Anda masih ada masa untuk sedar...masih ada masa untuk berubah... masih ada masa untuk melakar kejayaan di dalam hidup anda... kerana MASA ITU masih belum tiba. Ingat dan berubah sebelum terlambat.

Selamat menduduki peperiksaan
Semoga anda semua berjaya.
Cikgu Nordin

Friday, August 17, 2012

Exam VS Raya

Salam untuk semua. Tidak lama lagi umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidilfitri. Suasana kini semakin meriah. Sekolah pula akan bercuti dalam masa lebih kurang seminggu. Balik kampung, jalan-jalan dan menziarah, jumpa kawan-kawan, kuih raya, berpakaian cantik, duit raya dan banyak lagi yang akan menanti anda pada hari raya nanti.

Di kesempatan ini, Cikgu ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pelawat blog celiksains yang beragama Islam. Maaf dipohon jika ada penulisan cikgu yang mengguris hati anda. Sesungguhnya sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari kesalahan dan kesilapan.



Bagi calon-calon peperiksaan suka cikgu mengingatkan bahawa anda mempunyai tanggungjawab yang besar selepas hari raya nanti. Adakah persediaan anda sudah sampai ke tahap yang cukup baik sebelum menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan?

Ingatlah:

Hari raya datang dan pergi setiap tahun 
tetapi peperiksaan hanya datang sekali

Fikir dan renungkanlah. Gunakan kebijaksanaan anda untuk membahagi masa dan menilai yang manakah paling perlu diutamakan. Moga-moga anda tidak lalai dan mendapat manfaat. Orang yang berfikir dengan baik tentunya akan beruntung.

Jumpa lagi. 
Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin
Cikgu Nordin

Thursday, August 16, 2012

Bersedialah...

Salam pertemuan. Apa khabar semua? Dikesempatan ini, cikgu ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pelawat-pelawat blog Celiksains yang beragama Islam. Semoga anda semua sentiasa di dalam rahmat-Nya.Semoga anda semua dapat menjalani ibadah puasa dengan jayanya
.
Sekarang mungkin ada diantara calon-calon peperiksaan sedang berkira-kira tentang hasil yang akan diperolehi dari peperiksaan utama yang semakin hampir. Adakah membuahkan hasil atau tidak segala usaha yang dilakukan selama ini. Ada juga yang tidak yakin dengan diri sendiri hinggakan semangat mereka semakin menurun.


Kejayaan dan kegagalan kerap diperhitungkan. Bagi cikgu pula, jika anda telah membuat persedian yang TERBAIK kenapa anda perlu bimbang dan takut. Persediaan TERBAIK perlu disertakan dengan keyakinan tinggi dan tawakkal kepadanya
.

Terlalu banyak berfikir tentang kegagalan juga boleh mengurangkan motivasi diri anda. Jika anda mengalami perasan sebegini...bimbang, takut, risau, anda perlu dapatkan nasihat daripada ibubapa atau kaunselor anda. Perkara ini perlu dilakukan bagi membuang halangan-halangan yang boleh mengganggu tumpuan anda.

 

Cikgu berpendapat adalah lebih matang jika anda mempersoalkan tentang persediaan anda daripada memikirkan tentang kegagalan dan paling bahaya jika dibuai dengan angan-angan kejayaan. Bersedialah selengkapnya sebelum ke dewan peperiksaan. Jadikan keputusan percubaan anda sebagai sandaran dan penilaian untuk anda memperbaiki diri. Bertindaklah sebelum terlambat. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Gunakan masa bulan puasa ini untuk mentelaah dan mengulangkaji dengan sebaik mungkin. Satu kajian yang dilakukan oleh Pakar Perubatan Amerika Syarikat telah membuktikan puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian perbandingan ke atas sekumpulan orang yang kerap berpuasa dan tidak berpuasa menunjukkan mereka yang berpuasa memperolehi skor markah lebih tinggi. Jangan anda persiakan peluang di bulan yang mulia ini. Mulakan langkah anda segera.
Cikgu Nordin

Sunday, July 29, 2012

Kasih Ibu



Kasih ibu sepanjang hayat.... sesuatu yang tentunya pernah didengar tetapi jarang dihayati. Kita diasuh dan dididik sedari kecil hingga sekarang. 
Jasa ibu memang tidak boleh ditukar ganti.



 

 Bukan sahaja manusia, haiwan pun sayangkan anaknya.



 Doa ibu sangat berkat dan makbul.

 Sedarlah semua.....
Sayangilah ibu anda...sayangilah ibu anda..

 Kasih ibu sampai ke mati

Jika ibu anda masih ada di dunia ini....balaslah jasa-jasanya walaupun ia tidak minta. Berbaktilah kepadanya selagi diberi peluang. 

Sekurang-kurangnya anda tunjukkan kejayaan anda dalam hidup. 
Agar dia merasakan pengorbananya selama ini tidak pernah sia-sia.

Thursday, June 14, 2012

Tinggal Separuh..

Salam pertemuan untuk semua pengunjung setia blog SkorA. Abang One berharap anda semua berada di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Bagaimana dengan cuti penggal anda? Sekarang sekolah sudah mula dibuka. Sebelum anda mula dengan pengalaman baru.. anda kena ambil sedikit masa untuk melakukan sedikit analisa tentang pencapaian anda pada semester yang lepas.

Adakah semua yang anda lakukan pada semester lepas telah melepasi target? Adakah anda sangat berpuas hati dengan pencapaian anda? Mungkin juga anda tidak berpuas hati? Hanya diri anda sendiri yang mampu menjawab setakat mana tahap pencapaian anda. 

Ada juga di antara calon-calon PT3 dan SPM yang sedikit pun tidak mengambil kisah tentang hal ini. Bagi mereka apa yang telah dan akan berlaku sama sahaja. Mereka tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap mereka samada rakan, guru, ibubapa dan masyarakat sekeliling.

Anda patut tahu bahawa pengalaman anda di sekolah ini adalah satu proses. Proses yang sangat sistemetik, mencabar dan mempunyai kemanisan kejayaan yang tersembunyi. Anda kena cari kemanisan kejayaan tersebut.

Abang One andaikan semester pertama adalah separuh masa pertama bagi satu perlawanan bola sepak dan semester kedua adalah perlawanan bagi separuh masa yang kedua. Dunia anda adalah seperti satu perlawanan bola sepak yang telahpun melepasi separuh masa pertama.

Adakah anda sudah mengatasi pihak lawan pada separuh masa pertama atau anda ketinggalan? Jika anda rasakan anda telah ketinggalan, anda perlu mengambil langkah yang lebih berkesan dan proaktif dalam separuh masa kedua ini. Apakah langkah berkenaan?

Anda perlu memilih langkah yang sesuai dengan nasihat orang yang lebih tua daripada anda samada ibubapa, guru, kaunselor, abang atau kakak. Apa yang paling penting, anda akan mengatasi pihak lawan pada separuh masa kedua dan berjaya memenangi perlawanan tersebut. 

Siapa musuh anda? Musuh anda yang sebenarnya ialah diri anda sendiri... diri anda yang tidak mahu berjaya dan tidak mahu mengecap kemanisan kejayaan. Kemanisan yang bukan semua orang dapat merasakannya.


Perlu juga diketahui bahawa anda belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Anda masih mempunyai separuh lagi masa pertandingan... Perlawanan masih belum tamat. Pemenangnya masih belum diketahui. Anda memang boleh menang dan berjaya jika anda mengetahui siapakah anda... tahu kekuatan dan kelemahan anda. Jangan segan dan takut untuk membaiki sebarang kelemahan.

Cikgu sangat berharap pembaca semua faham apa yang abang cuba sampaikan. Buatlah perubahan sebelum semboyan penamat ditiupkan. Abang tetap yakin anda semua boleh mengecap kejayaan cemerlang dengan syarat pertama anda mahukan kejayaan berkenaan. Semuanya menjadi tidak berguna jika anda tidak mahu untuk berubah dan berjaya.

Sekian dulu untuk kali ini.. Selamat belajar
Cikgu Nordin

Wednesday, May 23, 2012

Kesungguhan..

Salam pertemuan. Siapakah anda? mungkin soalan sebegini jarang sekali ditanyakan kepada anda. 

Seorang pegawai polis tentunya akan menjalankan tugasnya dengan penuh disiplin dan amanah. Seorang doktor perubatan pula akan bertugas di hospital disertai kepakaran yang ada padanya. Seorang guru pula tidak jemu-jemu mendidik anak bangsa dengan satu tujuan untuk melihat anak muridnya menempa kejayaan. Seorang jaga sekolah tidak jemu-jemu meronda, berjaga, memeriksa kawasan sekolah demi menjamin keselamatan sekolah dan harta bendanya. Pemandu bas akan bangun awal.. menghantar pelajar-pelajar ke sekolah dan menghantar ke rumah ketika waktu balik. Ibu dan bapa bekerja dengan bertungkus lumus bagi mencari rezeki dalam membesarkan anak-anaknya agar menjadi orang yang berguna satu hari kelak.

Anda sebagai pelajar tentunya wajib menjalankan tugas anda sebagai pelajar. Anda tidak diminta untuk menjalankan tugas lain yang tidak bersangkutan dengan status anda. Jika anda lari dari tanggungjawab sebenar anda...maka tujuan anda ke sekolah boleh dipertikai oleh pihak lain. Kesungguhan anda menjalankan tugas anda sebagai seorang pelajar sebenarnya boleh diperhatikan.

Contoh di bawah dapat menggambarkan dengan jelas kesungguhan anda memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pelajar...Renungkanlah.











Semoga berjumpa lagi.

Demam Peperiksaan


Salam kunjungan untuk semua. Bertemu lagi kita di ruang maya ini. Bagaimana dengan peperiksaan Pertengahan Tahun? Setakat hari ini... harap-harap semuanya berjalan dengan baik.

Meninjau seketika gerak-geri rakan-rakan anda yang sedang demam untuk menghabiskan peperiksaan sebelum bercuti pertengahan tahun... banyak aksi-aksi luar jangka yang dipamirkan di sekolah.. ada yang pendiam, gelabah, serba tak kena, ada juga yang seperti tidak ada apa-apa yang penting berlaku.

Sebelum kertas bermula... ramai yang sibuk mengulangkaji, berbincang dengan rakan, membaca buku, membaca nota, melihat sekali lalu pelajaran yang lepas-lepas... tidak kurang juga yang bersantai sambil berbual-bual kosong.

Apa pun reaksi yang diperhatikan... sepatutnya semua pelajar mempunyai kesedaran bahawa peperiksaan itu penting dalam menilai sejauh mana kita menjalankan tugas kita sebagai seorang pelajar.... sejauh mana kita menunaikan janji senyap kepada ibubapa atau penjaga kita. Tidak kurang juga yang berjanji dengan lisan yang jelas dan penuh yakin demi menggembirakan insan tersayang.

Adalah sangat malang jika peperiksaan yang sedang dihadapai tidak memberi apa-apa makna kepada anda... ada juga yang beranggapan, hanya peperiksaan PT3 dan SPM sahaja yang penting manakala peperiksaan lain tidak penting. Tanggapan salah seperti ini akan terus mendodoi dan membuai anda sehingga anda lupa siapa anda dan kenapa anda perlu berada di sekolah?

Pelajar yang baik dan ikhlas dalam menjalankan tugasnya sebagai pelajar tentunya akan mendapat bantuan Tuhan Yang Maha Kuasa. Niat suci murni disertai dengan usaha yang gigih dan doa tentunya tidak akan mengecewakan. Sampai masa... pasti anda akan menangis kegembiraan sambil menuai erti kemanisan satu kejayaan.
Jumpa lagi.

Sunday, April 22, 2012

Saintis Muda

Salam kepada semua pengunjung. Harap anda semua berada dalam keadaan yang baik. Pada kali ini kita akan melihat ciri-ciri seorang bakal saintis. Sesungguhnya ciri-ciri berkenaan sudah boleh diperhatikan ketika di bangku sekolah lagi. Jika anda mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan di bawah ini... anda mungkin layak untuk digelar "Saintis Muda"..


1- Sangat minat matapelajaran sains dan kerap bertanya soalan-soalan yang berkaitan dengan mata pelajaran berkenaan ketika belajar di dalam kelas.


2-Suka menjalankan eksperimen. Suka mencuba eksperimen yang baru. Tidak takut dan tidak kekok semasa menjalankan eksperimen.


3-Minat membaca buku-buku sains dan sentiasa membaca buku-buku berkaitan sains.


4- Tidak pernah berputus asa, kecewa dan lemah semangat. Seorang yang berhati waja dan sentiasa ingin mencuba sesuatu perkara yang baru


5-Soalan-soalan sains dapat dijawab dengan mudah. Suka datang ke hadapan kelas dan kerap mengangkat tangan untuk menjawab soalan-soalan guru sains.


6-Sentiasa mendapat markah yang cemerlang bagi setiap ujian dan peperiksaan sains.


Adakah anda mempunyai ciri-ciri di atas?
Jumpa lagi...