Come With Hope, Back With Success."

Thursday, March 3, 2011

Membuat Nota

Salam untuk semua, pada kali ini Abang One akan membincangkan tentang satu aspek penting dalam pembelajaran sains iaitu mencatat nota. Bagi pelajar-pelajar sains, nota merupakan satu kaedah penting untuk mencatat, menyimpan dan mengingat sesuatu yang dipelajarai.

Terdapat pelbagai tujuan sesuatu nota itu diambil. Ada juga antara pelajar yang tidak mengetahui tujuan ia mengambil nota. MENCATAT nota dan MENYALIN nota adalah dua perkara yang sangat berbeza. Ramai antara pelajar yang MENYALIN nota dan bukannya MENCATAT nota. MENYALIN lebih mirip kepada istilah COPY manakala MENCATAT lebih mirip kepada keperluan.

Semasa mencatat atau mengambil nota sains, aspek kegunaan mesti difahami. Apa tujuan anda mencatat nota ? Adakah sebagai satu aktiviti suka-suka, mengikut kawan atau disebabkan oleh arahan daripada guru anda ? Mungkin juga boleh ditanya adakah anda suka dengan nota yang anda catat ? Atau adakah anda sendiri menyampah melihat dan membaca nota yang anda buat ?



Kesilapan mengambil nota menyebabkan anda melakukan sesuatu yang sia-sia kerana nota yang anda catat langsung tidak membantu anda. Sebaliknya ketika menjelang peperiksaan masih terdapat pelajar yang menggunakan buku teks dan buku rujukan untuk dibaca sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan. Ini mungkin satu tindakan yang kurang bijak.

Pelajar yang cemerlang hanya membaca catatan-catatan ringkas yang dibuatnya. Memandangkan masa sebelum masuk ke dewan peperiksaan adalah terhad. Penggunaan nota yang padat dan ringkas adalah lebih baik. Pelajar yang paling cemerlang tentunya berada dalam keadaan tenang tanpa sebarang nota kerana mereka telah bersedia lebih awal sebelum datang ke dewan peperiksaan.


Nasihat Abang, catatlah nota dengan penuh berhati-hati agar nota berkenaan berguna kepada anda. Anda juga tidak digalakkan meniru nota orang lain kerana kefahaman dan keperluan individu tidak sama. Seorang pelajar sepatutnya cenderung untuk mencatat nota tentang apa yang sukar difahami bagi tujuan hafalan dan ingatan. Jangan sekali-kali anda mencatat nota seperti pemberita yang mencatat hampir keseluruhan isi kandungan ucapan atau perbualan. Jika itu yang anda lakukan, lebih baik anda merekod pengajaran guru anda atau salin sahaja bahan berkenaan menggunakan scanner atau mesin salin yang lain. Tentunya kaedah ini tidak sesuai bagi pelajar cemerlang.

Nota yang baik adalah nota yang hadir dari hati dan pemikiran yang memahami. Nota yang baik juga merupakan nota yang dicatat setelah memahami sesuatu. Nota peringkat kedua adalah nota yang dicatat untuk memahami sesuatu manakala nota peringkat ketiga ialah mencatat apa sahaja tanpa tujuan yang jelas.

Ketika ujian, peperiksaan PMR dan SPM yang semakin menghampiri adalah perlu seseorang pelajar itu belajar secara SMART dan bukan belajar secara HARD.

Apa yang paling penting dalam apa sahaja yang dilakukan, anda perlu ikhlas dan jelas dengan tujuan anda. Bulatkan tekad anda untuk berjaya dan mendapat A. Perlu diingat, sebagai pelajar anda perlu melakukan kerja-kerja sebagai seorang pelajar demi masa depan anda.

Sekian untuk kali ini, selamat belajar
Cikgu Nordin