Salam pertemuan untuk semua pengunjung setia blog SkorA. Abang One berharap anda semua berada di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.
Bagaimana dengan cuti penggal anda? Sekarang sekolah sudah mula dibuka. Sebelum anda mula dengan pengalaman baru.. anda kena ambil sedikit masa untuk melakukan sedikit analisa tentang pencapaian anda pada semester yang lepas.
Adakah semua yang anda lakukan pada semester lepas telah melepasi target? Adakah anda sangat berpuas hati dengan pencapaian anda? Mungkin juga anda tidak berpuas hati? Hanya diri anda sendiri yang mampu menjawab setakat mana tahap pencapaian anda.
Ada juga di antara calon-calon PT3 dan SPM yang sedikit pun tidak mengambil kisah tentang hal ini. Bagi mereka apa yang telah dan akan berlaku sama sahaja. Mereka tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap mereka samada rakan, guru, ibubapa dan masyarakat sekeliling.
Anda patut tahu bahawa pengalaman anda di sekolah ini adalah satu proses. Proses yang sangat sistemetik, mencabar dan mempunyai kemanisan kejayaan yang tersembunyi. Anda kena cari kemanisan kejayaan tersebut.
Abang One andaikan semester pertama adalah separuh masa pertama bagi satu perlawanan bola sepak dan semester kedua adalah perlawanan bagi separuh masa yang kedua. Dunia
anda adalah seperti satu perlawanan bola sepak yang telahpun melepasi
separuh masa pertama.
Adakah anda sudah mengatasi pihak lawan pada separuh masa pertama atau anda ketinggalan? Jika anda rasakan anda telah ketinggalan, anda perlu mengambil langkah yang lebih berkesan dan proaktif dalam separuh masa kedua ini. Apakah langkah berkenaan?
Anda perlu memilih langkah yang sesuai dengan nasihat orang yang lebih tua daripada anda samada ibubapa, guru, kaunselor, abang atau kakak. Apa yang paling penting, anda akan mengatasi pihak lawan pada separuh masa kedua dan berjaya memenangi perlawanan tersebut.
Siapa musuh anda? Musuh anda yang sebenarnya ialah diri anda sendiri... diri anda yang tidak mahu berjaya dan tidak mahu mengecap kemanisan kejayaan. Kemanisan yang bukan semua orang dapat merasakannya.
Perlu juga diketahui bahawa anda belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Anda masih mempunyai separuh lagi masa pertandingan... Perlawanan masih belum tamat. Pemenangnya masih belum diketahui. Anda memang boleh menang dan berjaya jika anda mengetahui siapakah anda... tahu kekuatan dan kelemahan anda. Jangan segan dan takut untuk membaiki sebarang kelemahan.
Cikgu sangat berharap pembaca semua faham apa yang abang cuba sampaikan. Buatlah perubahan sebelum semboyan penamat ditiupkan. Abang tetap yakin anda semua boleh mengecap kejayaan cemerlang dengan syarat pertama anda mahukan kejayaan berkenaan. Semuanya menjadi tidak berguna jika anda tidak mahu untuk berubah dan berjaya.
Sekian dulu untuk kali ini.. Selamat belajar
Cikgu Nordin