Come With Hope, Back With Success."

Sunday, January 30, 2011

Lebah Istimewa

Lebah Yang Istimewa


Hampir semua orang sukakan madu yang manis, tetapi tidak ramai yang tahu tentang lebah itu sendiri yang gigih mencari madu. Lebah madu atau dalam panggilan saintifiknya Apis mellifera satu makhluk kecil ciptaan Tuhan yang sungguh istimewa.
 

Kebiasaanya, lebah akan keluar mencari madu bunga seawal pagi pada ketika dan masa yang hampir sama setiap hari. Seolah-olah terdapat jam loceng semulajadi yang memberi tanda kepada lebah untuk keluar mencari makanan. Jika tidak silap, ada kajian tentang lebah yang dibawa menaiki pesawat ke suatu tempat yang lebih jauh dari habitatnya akan tetap keluar dari sarang mencari makanan walaupun waktu tempat barunya berlainan.Pada kebiasaannya lebah tidak akan bergerak jauh jika hari mendung atau berangin.

Kumpulan lebah pekerja yang rajin dan setia akan keluar secara berpecah untuk mencari madu bunga. Sebaik sahaja menemui lokasi bunga yang mengandungi madu lebah akan segera pulang ke sarang bagi memberitahu rakan-rakan lebah yang lain.


Salah satu keunikan lebah ialah cara ia berkomunikasi dengan lebah yang lain. Pertama sekali lebah berkenaan akan memberi sedikit madu kepada lebah lain bagi penilaian kualiti madu. Selepas itu, lebah berkenaan akan membuat ritual tarian seperti angka lapan. Tarian berbentuk angka lapan berkenaan mengandungi maklumat-maklumat seperti kedudukan, arah dan kuantiti madu.


Jika lebah menari lurus menghala ke bahagian atas sarang, menunjukkan makanan berada tepat menghala ke arah matahari. Tarian lurus ke kiri dan kanan akan menunjukkan arah dan kedudukan makanan ke arah berkenaan. Sambil menari, lebah akan menggoyang kepak dan perutnya. Semakin kerap dan cepat goyangan dilakukan, semakin baiklah berita yang hendak disampaikan. Ada spesies lebah yang menari sambil mengeluarkan bunyi. Luas bulatan lapan pula menggambarkan kuantiti madu yang dijumpai.

Lebah juga menggunakan cara yang hampir sama bagi memilih lokasi sarang. Apabila sesuatu sarang telah mencapai populasi tepu, lebah ratu dan dua pertiga lebah lain akan berkumpulan di cabang pokok berhampiran. Beberapa ratus lebah pula akan bergerak untuk mencari sarang yang berpotensi. Mereka mencari hampir 10 hingga 20 lokasi berpotensi. Apabila pulang, setiap lebah pengintai akan memaklumkan lokasi dalam bentuk ritual tarian. Pengintai-pengintai lain akan pergi ke setiap lokasi yang dinyatakan bagi melihat lokasi sarang baru yang dicadangkan. Apabila semakin banyak tarian dan goyangan bagi sesuatu lokasi, maka lokasi yang popular itu akan dipilih sebagai sarang.

Semut dan anai-anai juga dikatakan mempunyai ritual ketika berkomunikasi di antara mereka. Apa yang jarang difikirkan, haiwan-haiwan kecil ini sebenarnya sangat  ikhlas berkomunikasi sesama mereka. Mungkin tanpa kehadiran perasaan hasad dengki, mereka mendapat kekuatan untuk  membangunkan sebuah kerajaan yang nampak seakan-akan melebihi kemampuan mereka.

Oleh : Abang One

Anda Mungkin Ingin Membaca :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...